Thursday, July 30, 2009

ADAT “TINAUH”
















Artikle ini ditulis oleh : Lianah Binti Sikana sepanjang pengajiannya di UPSI.






Adat “Tinauh” adalah satu acara perkahwinan yang berada di hierarki paling tertinggi dalam adat Murut Tagal di Daerah Sepulut Sabah sebelum adat pertunangan, adat perkahwinan, ‘Limpuhu” dan “Bului”. Adat ‘Tinauh” ialah kemuncak penghantaran hantaran mas kahwin ataupun barang-barang hantaran yang diminta oleh keluarga sebelah pihak perempuan dan berlangsung selama tiga hari tiga malam ataupun dalam tempoh seminggu. Adat “Tinauh” selalunya diadakan 10 tahun atau 20 tahun kemudian selepas perkahwinan suami isteri dan merekapun sudah beranak-pinak. Adat “Tinauh” tidak mengira sama ada barian yang diberi semasa perkahwinan dulu sudah mencukupi atau tidak, ibubapa perempuan tetap juga mengadakan “Tinauh”. Sesetengah ibubapa beranggapan tidak sempurna perkahwinan anak gadisnya jika adat “Tinauh” tidak diadakan selepas beberapa tahun anak perempuan mereka tinggal bersama dengan suami.

Menurut Herman Scholz (1988) Both, the tina’uh and the bului are highly traditional affairs, and they are best described as the last handing over of the outstanding dowry that was initially agreed on for the bride. The bului ceremony is even grander than the tina’uh, but this text will content itself to explanations pertaining to the tina’uh of the Tataluan Murut. A tina’uh can be held two years after a young man has taken a Murut wife, in a ceremony called ‘limpoho’. This was once the official wedding ritual and procedure of the Sepulut and Pensiangan Murut. Often, the young husband won’t be able to pay his dept so quickly. The ‘pulut’ (dowry) for a Murut girl can amount to up to 40,000 Ringgit in heirloom goods and cash, and thus frequently the tina’uh is only held twenty years after the limpoho. Sometimes, the man has taken another one or two wives.
(http://www.flyingdusun.com/004_Features/005_Tinauh.htm)

Sehingga pada masa sekarang, adat “Tinauh” masih diadakan setiap tahun. Dalam setahun, beberapa kampung di Daerah Sepulut akan terlibat dengan adat “Tinauh” sama ada dalam Daerah Sepulut Sendiri ataupun di Daerah Nabawan dan Daerah Pensiangan. Jika dilihat dalam mata kasar, masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut sebenarnya masyarakat yang hidup miskin kerana tidak mempunya sumber pendapatan tetap. Mereka hidup ala kadar dan bercucuk tanam sendiri untuk menyara keperluan keluarga. Sebahagian kecil bekerja sebagai buruh kasar dan hanya sedikit sahaja yang terlibat dengan sektor kerajaan. Walaupun mereka hidup miskin dan bekerja sendiri, mereka sanggup buat apa saja untuk mengadakan atau menghadiri adat “Tinauh” dengan bekerja bersungguh-sungguh untuk memperolehi kewangan semasa ‘Tinauh” nanti.

Seperti adat Melayu mengatakan “biar mati anak, jangan mati adat”. Itulah prisnip masyarakat Murut Tagal yang lebih mementingkan adat meskipun menangung beban yang tinggi. Walaupun mereka menyedari bahawa adat “Tinauh” ini perlukan perbelanjaan yang besar, persiapan yang lama dan tenaga yang banyak, namun masyarakat Murut Tagal tetap mengamalkan adat ini. Mereka beranggapan bahawa adat yang diwarisi daripada nenek moyang harus dipertahankan meskipun zaman sekarang sudah maju. Jika tidak, masyarakat Murut akan hilang identity sendiri sebagai kaum asli yang lama menetap di daerah pedalaman Sabah.

Jika dilihat tempoh untuk menjayakan adat “Tinauh”, ia mengambil masa yang lama antara setahun hingga dua tahun. Ini disebabkan kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan begitu teliti untuk menjayakan adat “Tinauh” ini. Sebelum adat “Tinauh” dilangsungkan, kedua-dua belah pihak harus berbincang dahulu bagi meminta persetujuan. Biasanya keluarga pihak perempuan akan menghantar “orang angkaunan” atau orang tengah sebagai wakil ibubapa pihak perempuan untuk mengadakan perbincangan dengan keluarga sebelah pihak lelaki. Tujuan “orang angkaunan” ialah bagi menyampaikan hajat bahawa ibubapa pihak perempuan mahu mengadakan adat “Tinauh” ke atas anaknya. Selalunya, pihak lelaki terpaksa akur dengan permintaan mantuanya untuk menjaga hubungan kekeluargaan dan mengelakkan persengketaan. Persiapan-persiapan yang dilakukan sebelum, semasa dan selepas adat “Tinauh” akan dibincangkan dalam bab kecil seterusnya.

BARIAN SAMPAI MATI MASYARAKAT MURUT TAGAL DAERAH SEPULUT, SABAH.




Artikle ini adalah berdasarkan kajian Tesis yang dijalankan.


BAB 4


DAPATAN KAJIAN

4.1 PENGENALAN

Penduduk Sabah adalah terdiri dari berbagai-bagai kaum dengan latar belakang dan kebudayaan masing-masing. Penduduk aslinya atau lebih dikenali sebagai bumiputera, terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak kurang dari 90 dialek. Antara berikut adalah sebahagian daripada kumpulan penduduk asli di Sabah iaitu Kadazandusun, Bonggi, Murut, Kimarang, Bajau, Kwijau, Paitan, Lundayeh, Kedayan, Ubian ,Sulu, Binadan, Bisaya, Kokos, Rumanau, Lotud, Minokok, Orang Sungai (Sungei), Rungus, Tatana, Tagaas, Suluk, Melayu, pelbagai kumpulan etnik Filipina selatan, Irranun dan Ida'an Brunei. Sebagai tambahan, kaum Cina merupakan kumpulan penduduk bukan asli yang terbesar. Mereka menetap di Sabah sejak abad yang lalu dan mereka merupakan kumpulan yang terbesar selepas kaum Kadazandusun. Bahasa rasmi negeri Sabah ialah Bahasa Melayu (seperti negeri lain di Malaysia), namun terdapat bahasa-bahasa lain yang ditutur ; seperti Bahasa Kadazan, Bahasa Cina (Bahasa Mandarin, Bahasa Hakka), dan lain-lain. Walaupun Bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan utama, Bahasa Melayu Sabah yang digunakan oleh masyarakat Sabah terdapat sedikit perbezaan daripada Bahasa Melayu piawai (Bahasa Melayu Baku). (http://ms.wikipedia.org/wiki/Bumiputra_di_Sabah).

Masyarakat Murut di negeri Sabah merupakan salah satu kaum ketiga terbesar di negeri Sabah dan berpegang kuat kepada adat. Adat yang diwarisi daripada zaman nenek moyang menjadi ikutan sehingga hari ini, misalnya adat perkahwinan, adat kematian, adat “Tina’uh” dan adat “Barian Sampai Mati”. Adat “Barian Sampai Mati” merupakan adat yang sangat popular dan sinonim dengan masyarakat Murut Tagal di negeri Sabah. Adat ini diamalkan oleh Murut Tagol di kawasan pedalaman Sabah khususnya di Daerah Pensiangan, Daerah Sepulut dan Daerah Nabawan.

Dalam bab ini, pengkaji melakukan pengkajian berkenaan dengan adat “Barian Sampai Mati” oleh masyarakat Murut Tagol yang menduduki kawasan pedalaman Negeri Sabah iaitu khusus kepada Daerah Sepulut sahaja. Adat “Barian Sampai Mati” mempunyai perspektif negatife daripada masyarakat lain di negeri Sabah kerana dianggap sangat membebankan kehidupan seharian khususnya pihak lelaki yang telah berkahwin. Timbul persoalan sama ada adat ini masih releven atau pun tidak untuk diamalkan pada zaman moden sekarang. Walaubagaimanapun, seperti pepatah Melayu mengatakan “selagi adat di kandung tanah, selagi itulah adat dijunjung”.

4.2 PENGERTIAN ADAT

Menurut Md. Yussop Bakar (1989 : 30) adat bertindak sebagai hukuman dan juga mempunyai fungsinya yang tersendiri sebagai alat sosialisasi dan juga kawalan sosial dalam masyarakat. Kedua-dua aspek ini iaitu aspek hukuman dan juga fungsi adat itu sendiri berlaku dalam rangka hubungan manusia sesama manusia iaitu hubungan sosial dan juga alat tabii dan dengan alam metafizik.

Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut. Adat masyarakat Melayu jelas terlihat dalam peribahasa yang berbunyi “Biar mati anak, jangan mati adat”.

Menurut Zainal Kling dalam Md. Yussop Bakar (1989 : 28-29) menyatakan bahawa kemunculan adat merupakan struktur asas keseluruhan kehidupan dan menegaskan ciri keperibadian sesebuah masyarakat. Dengan demikian dalam masyarakat tradisi, adat mempunyai kedudukan suci sehingga mencapai martabat agama, dipancarkan oleh kelakuan yang betul halus, sesuatu ciri kehidupan yang menyerapi sistem kepercayaan, hukuman dan denda. Setiap anggota masyarakat yang melanggar, melencong atau menafikan adat akan menerima balasan dan kehidupan. Anggota masyarakat yang mematuhi adat akan hidup senang dan bahagia serta meneruskan kepatuhan kepada adat.


4.3 PENGERTIAN ADAT ‘BARIAN SAMPAI MATI’

Barian atau dalam bahasa Melayu ‘Mas Kahwin” dan dalam bahasa Inggeris “Dowry”. Barian ialah nama yang diberi oleh masyarakat Murut bagi menunjukkan mas kahwin ataupun barang-barang hantaran daripada keluarga pihak lelaki kepada keluarga pihak perempuan semasa perkahwinan berlangsung. Oleh demikian, ‘barian sampai mati’ bermaksud mas kahwin atau barang-barang hantaran yang dituntut atau diminta oleh keluarga pihak perempuan daripada keluarga pihak lelaki bermula dari perkahwinan sehingga ke akhir hayat.

Adat ‘Barian Sampai Mati’ sudah lama diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi oleh masyarakat Murut di Sabah. Apabila gadis Murut dikahwini oleh lelaki pilihan keluarga atau pilihan sendiri, barian akan terus ditagih oleh keluarga pihak perempuan sehingga ke akhir hayat. Meskipun sudah beranak pinak dan umur sudah menjangkau 30 hingga 90 tahun, tetapi keluarga pihak perempuan masih meminta barian daripada pihak lelaki. Masyarakat Dusun dan masyarakat lain di Sabah mengatakan bahawa gadis Murut yang dikahwini memiliki barian atau pun hantaran mas kahwin yang sangat mahal berbanding dengan suku kaum lain di Malaysia.

Adat “Barian Sampai Mati” dapat dilihat apabila keluarga sebelah pihak perempuan menghadapi masalah seperti ada kematian, saudara mara berkahwin, menghadiri perkahwinan dan menghadiri “Tinauh”. Keluarga sebelah pihak lelaki mahupun suami gadis yang dikahwini turut dilibatkan sama dalam kesusahan tersebut. Pihak suami mesti membantu keluarga sebelah pihak perempuan dengan memberi mana-mana barang seperti tajau, kain sarung, emas, gong, kain nila, sisitan, duit dan sebagainya untuk diberi kepada keluarga pihak perempuan yang meminta bantuan. Selain ibubapa perempuan yang dikahwini meminta pertolongan, keluarga lain juga turut melakukan hal yang sama kepada pihak lelaki. Adat ini amat membebankan masyarakat Murut tetapi memandangkan adat ini sudah lama diamalkan, maka adat ini terus menjadi amalan tradisi masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut Sabah.

‘Barian Sampai Mati’ juga dapat dilihat apabila keluarga pihak perempuan pergi mengunjugi rumah pihak lelaki selepas kahwin, keluarga pihak perempuan akan meminta apa saja yang disukai dan dijumpai oleh mata mereka dalam rumah menantu lelaki. Pada masa itu juga, keluarga pihak perempuan akan terus mengambil benda atau pun barang tersebut misalnya televisyen, peti sujuk, tajau, gong, kain sarung, emas, basikal dan apa sahaja yang ditemui ketika berada di rumah pihak lelaki. Pihak lelaki pula tidak berbuat apa-apa dan membenarkan saja permintaan keluarga pihak perempuan sebagai tanda hormat kepada bapa dan mak mertuanya.

Untuk memiliki seorang gadis Murut, pihak lelaki terpaksa menanggung beberapa risiko tinggi untuk memenuhi tuntutan barian daripada keluarga pihak perempuan. Keluarga pihak perempuan berhak menuntut barian apa saja pada bila-bila masa. Pihak lelaki pula terpaksa menurut permintaan daripada keluarga perempuan untuk menjaga maruah keluarga. Berikut merupakan beberapa cara pihak perempuan menuntut barian atau mas kahwin daripada pihak lelaki.

4.4.1 Semasa ‘Anamong’ atau bertunang.

Selepas adat merisik berjaya dilakukan terhadap seorang gadis Murut yang bakal dikahwini oleh sang teruna, adat bertunang akan diadakan di rumah keluarga pihak perempuan. Selalunya adat bertunang ini dilangsungkan di rumah panjang dan dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja. Adat bertunang ini penting untuk memberi tanda kepada gadis yang dirisik tadi bahawa dirinya ‘sudah dimilki’ dan tidak boleh dirampas oleh mana-mana lelaki lain. Antara barian atau mas kahwin yang dituntut oleh ibubapa keluarga pihak perempuan ialah :
- Duit Rm 100.00
- Kain sarung atau ‘tapi’ 10 hingga 30 keping
- Rantai, cincin dan anting-anting.
- Bungkas atau rantai manik buatan lama
- Tajau atau ‘sampa’ kecil antara 5 hingga 10 buah.
- Lain-lain ikut permintaan keluarga pihak perempuan.

Sejak sekian lama, barian atau hantaran mas kahwin ini sudah ditetapkan oleh orang tua-tua yang berpengaruh sejak turun tumurun lagi. Malah, selain daripada jenis barian yang disenaraikan di atas, terdapat lagi barian yang dituntut oleh ibubapa pihak perempuan seperti seekor lembu atau seekor kerbau sebagai tanda sayang kepada anak gadis mereka yang bakal berpisah dengan keluarganya untuk bersama dengan bakal suaminya. Ianya bergantung kepada sifat ‘gila harta’ ibubapa pihak perempuan untuk mengeksploitasi anak gadis mereka bagi memperolehi barang hantaran mas kahwin. Ada kalanya, pihak lelaki tidak dapat memenuhi permintaan barian oleh keluarga pihak perempuan kerana dianggap terlalu mahal dan sukar didapati. Akibatnya, berlaku ketidakpuashatian dan menyebabkan ikatan pertunangan tersebut diputuskan sama ada oleh pihak lelaki yang merasakan barian tersebut keterlaluan ataupun pihak perempuan yang merasakan pihak lelaki tidak mampu membayar mas kahwin anaknya.

Adat barian yang keterlaluan hanya diamalkan oleh sesetengah ibubapa yang merasakan anak mereka layak dibayar tinggi. Manakala ibubapa yang berfikiran positif dan pandai bersikap bertimbang rasa akan mengikut barian yang ditetapkan dan tidak meminta lebih daripada itu. Namun, ada sesetengah pihak lelaki sanggup menurut apa sahaja yang diminta oleh keluarga pihak perempuan meskipun bariannya sangat mahal. Itu sebagai tanda sayang seorang teruna kepada gadis yang bakal dikahwininya.


4.4.2 Semasa Majlis Perkahwinan

Selepas beberapa bulan bertunang, majlis perkahwinan akan dilangsungkan selama tiga hari atau seminggu. Biasanya diadakan di rumah panjang dan dihadiri oleh sanak saudara. Mengikut tradisi masyarakat Murut Tagal, anak-anak mereka berkahwin dalam usia yang masih muda iaitu sekitar 13 tahun bagi anak perempuan dan 15 hingga 18 tahun bagi anak lelaki. Ibu bapa bertanggungjawab dalam memilih pasangan hidup anak-anak mereka. Dalam adat perkahwinan masyarakat Murut, sistem barian iaitu hantaran sampai mati atau barian kahwin seumur hidup diamalkan. Sistem ini dianggap sebagai tunjang adat bagi mengukuhkan tali persaudaraan antara ibu bapa dan anak perempuan yang telah berkahwin. Barian yang dibawa oleh pihak lelaki semasa majlis perkahwinan dianggarkan RM 20 000 hingga RM 30 000. Berikut ialah barian yang wajib dipenuhi oleh pihak lelaki untuk diberi kepada keluarga pihak perempuan.
- Tajau besar ‘Tiluan” harga RM 1000.00
- Tajau besar “Binukul” harga RM 1000.00
- Duit “Pamahipusan atau Kapuan Nu Tapi” (Khusus untuk Ibu pengantin Rm 1000.00)
- Tajau Besar buatan lama “Binalayungan” (Khusus untuk bapa pengantin) anggaran RM 1000.00
- Lembu atau Kerbau antara seekor atau tiga ekor.
- Tajau besar biasa 5 hingga 10 anggaran RM 5000.00
- Tajaun sederhana besar dan kecil 50 hingga 100 anggaran RM 3000.00
- Gong Besi 2 hingga 5 anggaran RM 5000.00
- Gong Tembaga 5 hingga 10 anggaran RM 2000.00
- Kain sarung 100 hingga 200 keping anggaran RM 1000.00
- Emas seperti rantai, cincin dan anting-anting anggaran RM 2000.00
- “Sisitan atau Susukur” 50 hingga 100 utas anggaran RM 1000.00
- Kain Nila 10 hingga 30 batang anggaran RM 1000.00
- Lain-lain permintaan dari ahli keluarga pihak perempuaan dianggarkan RM 5000.00

Berbeza dengan suku kamu lain di negeri Sabah, hantaran mas kahwin tidak terlalu mahal berbanding dengan masyarakat Murut khususnya Murut Tagal. Sebenarnya, hantaran barian ini tidak mampu dilakukan oleh ibubapa pihak lelaki kerana begitu mahal tetapi kerana amalan kerjasama sesama keluarga dapat membantu meringankan masalah pihak lelaki. Setiap satu keluarga di sebelah pihak lelaki akan membawa barian dari rumah atau yang dibeli misalnya duit, gong, tajau besar, emas, kain sarung dan kain nila untuk membantu keluarga mereka yang telah berkahwin. Jika ada 30 buah keluarga sebelah pihak lelaki, barian ke acara perkahwinan yang dibawa boleh dianggarkan mencapai RM 20 ribu sehingga RM 40 ribu. Walaupun bukan dalam bentuk duit, tetapi harga barang yang dibawa memiliki harga yang mahal misalnya tajau besar buatan lama, gong dan emas semua dibeli dalam harga yang mahal. Oleh itu, amalan bekerjasama dan bergotong royong sesama keluarga sama ada keluarga jauh atau dekat tetap akan datang membantu. Mereka mengamalkan ada “timbal balas”. Setiap kali dalam kesusahan, sesebuah keluarga yang mempunyai masalah akan memberitahu keluarganya yang lain untuk datang membantu. Dengan cara itu, masyarakat Murut Tagal dapat meringankan segala bebanan yang dipikul.


4.4.4 Semasa Limpuhu

Limpuhu sama juga dengan majlis perkahwinan, ada kalanya keluarga pihak perempuan terus melompat kepada adat ‘Limpuhu’. Memandangkan adat kahwin masyarakat Murut berhierarki, maka berkecenderungan untuk mengamalkan kahwin “Limpuhu” nombor dua daripada adat kahwin biasa. Barian yang dibawa oleh pihak lelaki juga sama dengan kahwin biasa. Antara barian yang selalu di bawa oleh pihak lelaki ialah :
- Tajau besar ‘Tiluan” harga RM 1000.00
- Tajau besar “Binukul” harga RM 1000.00
- Duit “Pamahipusan atau Kapuan Nu Tapi” (Khusus untuk Ibu pengantin Rm 1000.00)
- Tajau Besar buatan lama “Binalayungan” (Khusus untuk bapa pengantin) anggaran RM 1000.00
- Lembu atau Kerbau antara seekor atau tiga ekor.
- Tajau besar biasa 5 hingga 10 anggaran RM 5000.00
- Tajaun sederhana besar dan kecil 50 hingga 100 anggaran RM 3000.00
- Gong Besi 2 hingga 5 anggaran RM 5000.00
- Gong Tembaga 5 hingga 10 anggaran RM 2000.00
- Kain sarung 100 hingga 200 keping anggaran RM 1000.00
- Emas seperti rantai, cincin dan anting-anting anggaran RM 2000.00
- “Sisitan atau Susukur” 50 hingga 100 utas anggaran RM 1000.00
- Kain Nila 10 hingga 30 batang anggaran RM 1000.00
- Lain-lain permintaan dari ahli keluarga pihak perempuaan dianggarkan RM 5000.00



4.4.5 Semasa Bului

Seperti adat kahwin “Limpuhu”, kahwin “Bului” juga sama dengan barian yang di bawa semasa perkahwinan biasa. Cuma nama yang berbeza. Adat kahwin ‘bului’ selalu diamalkan oleh keluarga pihak perempuan apabila anak gadis mereka dikahwini. Biasanya apabila keluarga pihak perempuan tidak mampu mengadakan cara kahwin “Tinauh”, mereka menggunakan adat kahwin ‘Bului” untuk anak gadis mereka yang dikahwini. Semua hantaran barian adalah sama sahaja cuma perjalanan adat itu semasa ia dilangsungkan adalah berbeza. Antara barian yang dibawa ialah :
- Tajau besar ‘Tiluan” harga RM 1000.00
- Tajau besar “Binukul” harga RM 1000.00
- Duit “Pamahipusan atau Kapuan Nu Tapi” (Khusus untuk Ibu pengantin Rm 1000.00)
- Tajau Besar buatan lama “Binalayungan” (Khusus untuk bapa pengantin) anggaran RM 1000.00
- Lembu atau Kerbau antara seekor atau tiga ekor.
- Tajau besar biasa 5 hingga 10 anggaran RM 5000.00
- Tajaun sederhana besar dan kecil 50 hingga 100 anggaran RM 3000.00
- Gong Besi 2 hingga 5 anggaran RM 5000.00
- Gong Tembaga 5 hingga 10 anggaran RM 2000.00
- Kain sarung 100 hingga 200 keping anggaran RM 1000.00
- Emas seperti rantai, cincin dan anting-anting anggaran RM 2000.00
- “Sisitan atau Susukur” 50 hingga 100 utas anggaran RM 1000.00
- Kain Nila 10 hingga 30 batang anggaran RM 1000.00
- Lain-lain permintaan dari ahli keluarga pihak perempuaan dianggarkan RM 5000.00


4.4.6 Semasa adat “Tinauh”

Adat “Tinauh” adalah satu acara perkahwinan yang berada di hierarki paling tertinggi dalam adat Murut Tagal di Daerah Sepulut Sabah. Manakala adat “Barian Sampai Mati” pula adalah kemuncak penghantaran hantaran mas kahwin ataupun barang-barang hantaran yang diminta oleh keluarga sebelah pihak perempuan. Kemuncak penghantaran mas kahwin itu adalah pada acara keramaian “Tinauh” yang berlangsung selama tiga hari tiga malam ataupun dalam tempoh seminggu. Meskipun sudah beranak pinak dan umur sudah menjangkau 30 hingga 50 tahun, barian tetap diberi oleh pihak lelaki kepada sebelah pihak perempuan.


Menurut Herman Scholz (1988) Both, the tina’uh and the bului are highly traditional affairs, and they are best described as the last handing over of the outstanding dowry that was initially agreed on for the bride. The bului ceremony is even grander than the tina’uh, but this text will content itself to explanations pertaining to the tina’uh of the Tataluan Murut.
Berikut ialah barian atau barang-barang hantaran yang dibawa semasa adat “Tinauh” :-
1. Tajau Besar buatan lama atau “Sampa Lair” 10 hingga 30 buah.
2. Gong Besi dan Gong Tembaga atau ‘Ahung basi dan Ahung Tambaga” 20 hingga 40 buah.
3. Tajau bersaiz sederhana besar “Sampa Biasa” 50 hingga 300 buah
4. Kain Sarung atau “Tapi” 100 hingga 300 keping.
5. Kain nila atau “Kain Kinayuh” 20 hingga 30 keping.
6. Lembu atau Kerbau 1 hingga 3 ekor.
7. Emas atau “Amas” seperti rantai, gelang, cicin dan anting-anting.
8. Bungkas 10 hingga 20 utas
9. Sisitan 50 hingga 200 utas

Selain barian yang disenaraikan di atas, terdapat juga permintaan daripada pihak perempuan yang mesti dipenuhi oleh keluarga pihak lelaki. Permintaan tersebut berupa barang berharga atau duit. Biasanya, saging atau ‘buyuung’ di hantar dan dibahagi-bahagikan kepada keluarga pihak lelaki untuk memenuhi permintaan pihak perempuan. Sekiranya ada 30 buah keluarga menghantar ‘buyung’ atau saging maka 30 buah juga keluarga daripada pihak lelaki memiliki saging dari pihak perempuan. Setiap satu keluarga ada satu ‘buyuung’, malah lebih dari dua. Mereka berpasangan untuk memudahkan barang yang diminta tertunai oleh keluarga pihak lelaki.

Sehelai kertas diletak di atas ‘buyuung’ sebagai simbolik untuk memberitahu hajat barang yang diminta. Antara contoh barang yang diminta oleh keluarga pihak perempuan daripada pihak lelaki ialah :
-Tajau Binalayungan (Tajau Buatan Lama)
-Gong Besi atau “ahung”.
-Lembu/Kerbau
-Jam Tangan Berjenama
-Rantai Emas Berbuah, Gelang Emas Berbuah, Anting-anting tebal dan Cicin tebal.
- Duit Rm 300 hingga Rm 500
-Peti Sejuk
-Almari Pakaian
-Astro.
-Televisyen
-Generator
-Basikal
-Motorsikal
-Dan lain-lain


4.4.5 Lain-lain Keadaan

Lain-lain keadaan yang dimaksudkan ialah apabila keluarga pihak perempuan mengalami masalah seperti berlaku kematian, ahli keluarga berkahwin dan tinauh. keluarga pihak perempuan akan datang kepada anak perempuan yang telah dikahwini untuk meminta pertolongan. Antara pemberian yang selalu diberi ialah :
-Tajau Besar atau Tajau Kecil antara 1 hingga 5
-Kain Sarung antara 2 hingga 10 keping
-Sisistan antara 2 hingga 5
-Gong antara 1 hingga 3
-mana-mana emas dianggarkan RM 500.00
-Duit dianggarkan Rm 100.00 hingga RM 500.00





4.6 PERATURAN ADAT ‘BERIAN SAMPAI MATI”

Adat ‘Barian Sampai Mati’ sebenarnya mempunya beberapa peraturan yang perlu diikuti oleh masyarakat Tagol di Daerah Sepulut, Daerah Pensiangan dan Daerah Nabawan. Memandangkan cara penghantaran barian tidak sama, ada yang ikut cara kahwin biasa, limpuhu, bului dan Tinauh maka peraturannya juga berlainan tetapi barang hantaran tetap mahal.

Peraturan pertama, sekiranya pihak lelaki berjaya melunaskan barian atau mas kahwin isteri yang dikahwinininya dan ibubapa pihak perempuan berpuas hati. Maka perkahwinan setakat disitu sahaja tanpa ada perkahwinan lain seperti Limpuhu, Bului dan Tinauh. Barian yang sangat penting ialah dua tajau yang dinamakan “Tiluan” dan “Binukul”. Kedua-dua tajau ini adalah buatan lama dan sangat berharga bagi masyarakat Murut. Tiluan diumpamakan sebagai ‘jantung’ manakala Binukul adalah “hati”. Perlembagaan ini menunjukkan betapa tingginya adat masyarakat Murut.

Peraturan kedua ialah sekiranya pihak lelaki dan pasangannya sudah berkahwin dan sudah beranak-pinak tetapi ibubapa pihak perempuan masih tidak berpuas hati dengan barian hantaran yang dibawa oleh pihak lelaki, maka 5 atau 10 tahun kemudian, ibubapa pihak perempuan memanggil sekali lagi menantu lelaki mereka untuk mengadakan perkahwinan adat lama sama ada “Bului” atau “Tinauh”. Mahu atau tidak mahu, suami kepada anak perempuan yang dikahwini terpaksa menyanggupi permintaan mantuanya. Jika tidak, mantuanya berhak menyaman kerana barian yang diminta masih belum cukup.

Peraturan ketiga ialah, sekiranya pasangan lelaki dan pasangan perempuan baru bertunang dan bapa perempuan terus mahu mengadakat cara kahwin adat “Tinauh” serta mendapat persetujuan daripada pihak lelaki maka penghantaran barian secara besar-besaran diadakan pada tarikh yang ditetapkan. Maksudnya, perkahwinan biasa tidak digunapakai lagi, tetapi terus kepada peringkat perkahwinan yang paling tinggi iaitu “Tinauh” kerana kedua-dua belah pihak sanggup berbelanja besar.


4.7 KESIMPULAN

Jelaslah bahawa adat ‘barian sampai mati’ merupakan adat yang paling unik antara seluruh masyarakat suku kaum Murut Tagal di Sabah. Adat ini sudah menjadi kebiasaan setiap kali seorang gadis dikahwini. Walaubagaimanapun, ramai masyarakat Murut Tagal pada masa ini menyedari bahawa adat ‘barian sampai mati’ sangat membebankan. Mereka mengakui sendiri bahawa lebih baik menggunakan duit yang ada untuk membelanjakan perbelanjaan anak ke sekolah berbanding menghabiskannya untuk ‘Tinauh”. Ternyata, adat ‘barian sampai mati’ ini sudah tidak mendapat sambutan daripada masyarakat Murut Tagal sendiri. Ini disebabkan kesededaran akibat banyak pengalaman menempuhi adat yang dianggap adat lama dan tidak relevan untuk masa sekarang. Adat yang baik dan menguntungkan boleh dipertahankan untuk menjaga adat warisan daripada nenek moyang, tetapi jika adat itu menyusahkan hidup, maka adat tersebut perlu ditinggalkan. Hidup bukan diabdikan dengan adat lama yang merumitkan dan terbukti amat merugikan bangsanya, tetapi apa yang penting adat mesti sesuai dengan corak hidup masa kini yang lebih pentingkan pendidikan, kerjaya dan masa depan.

MASYARAKAT MURUT TAGAL DAERAH SEPULUT, SABAH.


Dari : Lianah Binti Sikana.
(1/09/2009) Saturday.

Daerah Sepulut merupakan sebuah kawasan di pedalaman Sabah yang diduduki oleh suku kaum Murut Tagal. Daerah Sepulut terletak di antara Daerah Pensiangan dan Daerah Nabawan Sabah. Daerah Sepulut terletak kira-kira 250 km dari Bandar Keningau dan 100 km dari Pekan Nabawan. Dalam peta negeri Sabah, daerah Sepulut terletak di bahagian Selatan bersempadan dengan Sarawak dan Kalimantan dan berada di pertengahan jalan antara Keningau dan Tawau. Malah, Daerah Sepulut juga merupakan laluan utama jalan raya separuh bertar yang terdekat dari Kota Kinabalu ke Tawau. Batu Punggul yang terletak di bahagian hulu Sungai Sepulut merupakan destinasi pelancongan yang menjadi tarikan dan tumpuan utama pelancong Asing dari luar negara misalnya dari Australia, Amerika Syarikat, Russia, Kanada dan negara Eropah lain.
Antara penduduk terawal yang menduduki Daerah Sepulut ialah suku kaum Murut Tagal. Pada awal kewujudan daerah Sepulut, penghubung utama ialah sungai yang mengalir dari utara Batu Punggul ke selatan Daerah Pensiangan dan sungai itu dinamakan “Sungai Sepulut”. Masyarakat Murut yang terawal sampai ke daerah Sepulut gemar mendirikan rumah panjang serta hidup dalam keluarga besar yang harmoni iaitu antara lima hingga sepuluh buah keluarga yang menghuni sebuah rumah panjang. Rumah panjang didirikan di pinggir Sungai Sepulut kerana mudah bagi mereka melakukan aktiviti seharian seperti menangkap ikan, mandi, cuci kain dan mendapatkan sumber bekalan air.

Oleh itu, di sepanjang “Sungai Sepulut” dari hulu sungai ke hilir sungai wujud kampung-kampung yang berasingan antara satu sama lain. Antara kampung-kampung tersebut ialah Kampung Tataluan, Kampung Kambubulawan, Kampung Sandukan,Kampung Naipai, Kampung Maatol, Kampung Samuran, Kampung Labang, Kampung Naturan, Kampung Liningkar, Kampung Simatuoh, Kampung Bukokoh, Kampung Tonomon, Kampung Bihor, Kampung Kainggalan dan Kampung Tampak Ri Kailau. Setiap kampung mempunyai ketua kampung yang berperanan sebagai penasihat adat dan tempat rujukan anak buahnya bagi menjaga dan mengawal keharmonian kampung di bawah jagaannya.

Membicarakan maksud perkataan “Murut” menurut Headly (1948) dalam Ismali Yusoff (1997 : 28) perkataan “Murut” di Sabah merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di pedalaman yang mempunyai hubungan rapat dengan suku kaum Dusun. Seperti orang Dusun, nama orang Murut bukan diperoleh sendiri oleh masyarakat tersebut, tetapi diberikan oleh pendatang dari luar. Berbanding dengan orang Dusun, keadaan fizikal orang Murut adalah lebih kecil dan pendek. Barangkali kerana inilah ramai pengkaji beranggapan bahawa mereka ini berasal dari Annam, Ulu Burma atau Formosa (Rutter 1922 dalam Ismail Yussof 1997 : 28).

Menurut Pollard (1935) pula dalam Ismali Yusoff (1997 : 28) istilah “Murut” berasal dari akar kata ‘purut’ iaitu ‘berian’ atau ‘hantaran mas kahwin’. Ada juga pengkaji berpendapat istilah ini diperoleh dari ‘burut’ iaitu sejenis tumbuh-tumbuhan berubi yang digemari oleh orang Murut. Sebelum nama ini menjadi popular kaum Murut dikenali dengan berbagai nama yang dikaitkan dengan alam sekeliling di mana mereka berorentasi. Prentice (1965) dalam Ismali Yusoff (1997 : 28) misalnya menamakan mereka ini ‘hill people’ kerana mereka tinggal di bukit-bukau. Sementara Whelan (1970) dalam Ismali Yusoff (1997 : 28) pula menamakan mereka ‘man of wood’ kerana lokasi perkampungan mereka di hutan rimba.

Asal usul dan sejarah awal masyarakat Murut sukar di kesan. Ini disebabkan oleh kajian tentang orang Murut belum banyak dilakukan. Adapun, hanya catatan-catatan ringkas yang dibuat oleh orang Eropah. Misalnya Rutter (1922) dalam Ismail Yussof ( 1977 : 28) beranggapan bahawa orang Murut ini berasal dari Annam, Ulu Burma atau Formosa disebabkan oleh keadaan fizikal yang kecil dan rendah. Ada yang mengatakan bahawa penghijrahan beramai-ramai dari tanah besar Asia turut diakui oleh Owen Rutter (1922) dalam Abdullah Halim Bandan (2006 : 7) dalam bukunya The Pagan Of North Borneo menjelaskan bahawa penduduk Dusun dan Murut di negeri Sabah adalah daripada kelompok orang pendatang yang berasal dari tanah besar Asia (Funan). Ada juga kajian mengatakan bahawa masyarakat Murut merupakan suku bangsa yang tertua sekali di Sabah, dan dipercayai datang dari Annam, Indo-China dan sampai ke Sabah melalui kepulauan Filipina. Cara hidup mereka hampir sama dengan cara hidup bangsa Mois iaitu Orang Asli negeri tersebut. Mereka juga mempunyai banyak persamaan dengan orang Dayak di Sarawak. Kawasan penempatan mereka ialah di daerah Tenom, Sapulut, Rundum, dan Sipitang. (http://malaysiana.pnm.my/01/010503sbhmurut_pengenalan.htm). Selain itu, Menurut Abdul Halim Bandan (2006 : 8), penduduk terawal negeri ini (Sabah) dikatakan menghuni kawasan pesisir pantai dan muara sungai. Akan tetapi kedatangan kumpulan yang berikutnya dipercayai lebih gagah serta bertamadun, telah memaksa kaum yang awal itu berpindah ke daerah pedalaman. Mereka berpindah untuk mencari tempat perlindungan yang baharu dan selamat.

Menyebut tentang kegiatan ekonomi utama masyarakat Murut, kebanyakan mereka mengamalkan sistem ekonomi sara diri. Misalnya, menaman padi bukit sekali setahun untuk mendapatkan bekalan beras bagi menampung keperluan seharian keluarga. Beras tidak dijual hanya sekadar cukup makan. Selain menanam padi, masyarakat murut juga menaman ubi kayu sebagai sumber makanan kedua. Ubi kayu yang sudah matang akan dijadikan ‘sagu’ atau ‘inaau’ bagi menggantikan bekalan beras jika sudah habis.. Sayur-sayuran seperti kacang panjang, jagung, bayam, betik, labu, lada, terung, timun, sayur manis dan pucuk ubi turut ditanam oleh masyarakat Murut. Masyarakat Murut juga menamam buah-buahan seperti durian (lampun), tarab (kikian), langsat (lansat), nangka (mangka), mangga, cempedak (pulutan), rambutan, pisang (puntih), mangis dan limau. Masyarakat Murut juga gemar turun ke sungai untuk mengkap ikan misalnya ikan Salarong, ikan Palau, ikan Baung, ikan Lambungau, ikan Valov, ikan Luot, ikan Salab, ikan Sungkuh dan ikan Lihas. Alat yang selalu digunakan untuk menangkap ikan ialah pancing, pukat dan rambat. Selain menangkap ikan, masyarakat Murut khususnya kaum lelaki suka masuk hutan untuk memburu babi, pelanduk, rusa, kicang, beruang, monyet, payau dan ular besar. Pucuk Ubi atau ‘Umbus’ menjadi sayur utama sekiranya tidak mendapat hasil buruan dari hutan.

Jalan pengangkutan masyarakat Murut Tagal yang sangat popular ialah jalan melalui sungai Sepulut dan menggunakan perahu atau “Paraaw”. Perahu besar beserta dengan enjen ‘Boat Mariner atau Boat Suzuki’ sangat sesuai digunakan untuk perjalanan jauh. Untuk pergi ke kampung-kampung lain menyelusuri Sungai Sepulut, perahu ‘boat’ lebih mudah digunakan berbanding kereta kerana pada masa dahulu jalan raya belum sempurna. Pada masa sekarang, kereta Land Rover dan Land Cruiser menjadi alat pengangkutan utama kerana jalan raya sudah diperbaiki, malah lebih menjimatkan masa dan tenaga berbanding dengan perahu ‘boat’.

Dalam bahasa pertuturan utama, masyarakat Murut bertutur dalam bahasa Murut, yang menjadikan bahasa ibunda dan bahasa harian dalam kalangan mereka. Namun demikian, mereka juga menggunakan bahasa Malaysia sebagai lingua franca untuk berhubung dengan suku-suku kaum lain, semasa berurusan dengan hospital dan pejabat-pejabat kerajaan apatah lagi bahasa itu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Negara.

Dari segi pekerjaan, masyarakat Murut Tagal di Daerah Sepulut bekerja sebagai petani dan bercucuk tanam sendiri bagi menyara kehidupan keluarga. Sebahagian besar kaum lelaki bekerja sebagai buruh kasar kayu balak dan pembawa kenderaan berat untuk membuat jalan raya. Selain menjadi petani, masyarakat Murut juga suka bekerja sendiri misalnya mejual lumut dan kulat kepada tauke Cina untuk diproses menjadi ubat. Selain menjual ubat, masyarakat Murut juga suka menjual daging babi atau rusa untuk mendapatkan sumber pendapatan sampingan. Bagi sektor kerajaan, hanya sedikit sahaja masyarakat Murut yang makan gaji dengan kerajaan misalnya menjadi guru dan pembantu hospital di Daerah Sepulut. Masyarakat Murut juga memungut hasil hutan seperti rotan, buah-buahan yang tumbuh dalam hutan, damar, tali ‘lumapak’, madu lebah dan damar.

Suku Kaum Murut di Sabah terdiri daripada pelbagai jenis iaitu Baukan, Timugon, Paluan, Tagal atau Tahol, Kolod, Naabai, Sembakung, Serudung dan Kalabakan. Kepelbagaian jenis Murut ini adalah disebabkan oleh bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan terletak di kawasan penempatan yang berbeza. Suku kaum Murut di Sabah terpisah-pisah antara satu sama lain sehingga membawa kepada perbezaan dari segi dialek dan sedikit perbezaan adat resam. Salah satu budaya yang dikongsi bersama ialah “Pesta Keamatan” (Bahasa Dusun) atau “Pesta Napangaan Nangotom” (Bahasa Murut) . Dalam bahasa Melayu bermaksud “Pesta Selasai Menuai Padi”. Dari segi agama, ramai suku kaum Murut di Sabah yang beragama Kristian dan sebilangannya adalah beragama Islam dan Pagan. Di daerah Sepulut, kebanyakannya beragama Kristian Basel.

Umumnya, masyarakat Murut Tagal di Daerah Sepulut boleh dianggap sebagai masyarakat luar bandar yang agak homogeneous (seragam). Anggota masyarakatnya yang sebangsa dan seagama memperlihatkan keseragaman dari segi adat, cara, gaya dan taraf hidup. Keseragaman ini selaras dengan hakikat bahawa kebanyakan anggota masyarakat mempunyai ikatan kekerabatan antara satu sama lain mewujudkan perpaduan dan perasaan kekitaan di kalangan mereka. Hubungan yang rapat antara kaum keluarga dan perpaduan yang wujud penting bagi menimbal kesukaran hidup dan kelemahan ekonomi.

Salah satu jenis Murut yang unik dan berbeza daripada Murut lain ialah Murut Tagal atau Tahol. Murut Tagol kebanyakannya tinggal menetap di daerah Nabawan, daerah Pensiangan dan daerah Sepulut. Namun, dalam kajian ini lebih berfokus kepada masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut. Salah satu keunikan Murut Tagol daripada Murut lain ialah adat. Adat yang menjadi kebanggaan dan amalan suku kaum Murut Tagal ialah adat “Barian Sampai Mati”. Adat ini diperturunkan sejak zaman nenek moyang lagi sehingga pada masa ini.

Masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut sejak dahulu lagi mengamalkan adat ‘barian sampai mati’. Adat ini kemudiaannya semakin berkembang ke seluruh masyarakat Murut Tagal dan anak gadis yang dikahwini dikenakan bayaran yang sangat mahal. Di Malaysia, hanya masyarakat Murut Tagal sahaja yang mengamalkan adat ‘barian sampai mati’ dalam adat perkahwinan. Namun, pada masa sekarang, masyarakat murut Tagal yang sudah mencapai tahap pendidikan yang tinggi tidak meneruskan adat ini kerana menganggap adat ini amat membebankan terutama pihak lelaki.

Tuesday, July 21, 2009

Salam Perkenalan

Layarilah laman ini untuk berkongsi pengalaman dari saya. Terima Kasih.