Thursday, July 30, 2009

ADAT “TINAUH”
















Artikle ini ditulis oleh : Lianah Binti Sikana sepanjang pengajiannya di UPSI.






Adat “Tinauh” adalah satu acara perkahwinan yang berada di hierarki paling tertinggi dalam adat Murut Tagal di Daerah Sepulut Sabah sebelum adat pertunangan, adat perkahwinan, ‘Limpuhu” dan “Bului”. Adat ‘Tinauh” ialah kemuncak penghantaran hantaran mas kahwin ataupun barang-barang hantaran yang diminta oleh keluarga sebelah pihak perempuan dan berlangsung selama tiga hari tiga malam ataupun dalam tempoh seminggu. Adat “Tinauh” selalunya diadakan 10 tahun atau 20 tahun kemudian selepas perkahwinan suami isteri dan merekapun sudah beranak-pinak. Adat “Tinauh” tidak mengira sama ada barian yang diberi semasa perkahwinan dulu sudah mencukupi atau tidak, ibubapa perempuan tetap juga mengadakan “Tinauh”. Sesetengah ibubapa beranggapan tidak sempurna perkahwinan anak gadisnya jika adat “Tinauh” tidak diadakan selepas beberapa tahun anak perempuan mereka tinggal bersama dengan suami.

Menurut Herman Scholz (1988) Both, the tina’uh and the bului are highly traditional affairs, and they are best described as the last handing over of the outstanding dowry that was initially agreed on for the bride. The bului ceremony is even grander than the tina’uh, but this text will content itself to explanations pertaining to the tina’uh of the Tataluan Murut. A tina’uh can be held two years after a young man has taken a Murut wife, in a ceremony called ‘limpoho’. This was once the official wedding ritual and procedure of the Sepulut and Pensiangan Murut. Often, the young husband won’t be able to pay his dept so quickly. The ‘pulut’ (dowry) for a Murut girl can amount to up to 40,000 Ringgit in heirloom goods and cash, and thus frequently the tina’uh is only held twenty years after the limpoho. Sometimes, the man has taken another one or two wives.
(http://www.flyingdusun.com/004_Features/005_Tinauh.htm)

Sehingga pada masa sekarang, adat “Tinauh” masih diadakan setiap tahun. Dalam setahun, beberapa kampung di Daerah Sepulut akan terlibat dengan adat “Tinauh” sama ada dalam Daerah Sepulut Sendiri ataupun di Daerah Nabawan dan Daerah Pensiangan. Jika dilihat dalam mata kasar, masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut sebenarnya masyarakat yang hidup miskin kerana tidak mempunya sumber pendapatan tetap. Mereka hidup ala kadar dan bercucuk tanam sendiri untuk menyara keperluan keluarga. Sebahagian kecil bekerja sebagai buruh kasar dan hanya sedikit sahaja yang terlibat dengan sektor kerajaan. Walaupun mereka hidup miskin dan bekerja sendiri, mereka sanggup buat apa saja untuk mengadakan atau menghadiri adat “Tinauh” dengan bekerja bersungguh-sungguh untuk memperolehi kewangan semasa ‘Tinauh” nanti.

Seperti adat Melayu mengatakan “biar mati anak, jangan mati adat”. Itulah prisnip masyarakat Murut Tagal yang lebih mementingkan adat meskipun menangung beban yang tinggi. Walaupun mereka menyedari bahawa adat “Tinauh” ini perlukan perbelanjaan yang besar, persiapan yang lama dan tenaga yang banyak, namun masyarakat Murut Tagal tetap mengamalkan adat ini. Mereka beranggapan bahawa adat yang diwarisi daripada nenek moyang harus dipertahankan meskipun zaman sekarang sudah maju. Jika tidak, masyarakat Murut akan hilang identity sendiri sebagai kaum asli yang lama menetap di daerah pedalaman Sabah.

Jika dilihat tempoh untuk menjayakan adat “Tinauh”, ia mengambil masa yang lama antara setahun hingga dua tahun. Ini disebabkan kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan begitu teliti untuk menjayakan adat “Tinauh” ini. Sebelum adat “Tinauh” dilangsungkan, kedua-dua belah pihak harus berbincang dahulu bagi meminta persetujuan. Biasanya keluarga pihak perempuan akan menghantar “orang angkaunan” atau orang tengah sebagai wakil ibubapa pihak perempuan untuk mengadakan perbincangan dengan keluarga sebelah pihak lelaki. Tujuan “orang angkaunan” ialah bagi menyampaikan hajat bahawa ibubapa pihak perempuan mahu mengadakan adat “Tinauh” ke atas anaknya. Selalunya, pihak lelaki terpaksa akur dengan permintaan mantuanya untuk menjaga hubungan kekeluargaan dan mengelakkan persengketaan. Persiapan-persiapan yang dilakukan sebelum, semasa dan selepas adat “Tinauh” akan dibincangkan dalam bab kecil seterusnya.

No comments:

Post a Comment