Thursday, July 30, 2009

MASYARAKAT MURUT TAGAL DAERAH SEPULUT, SABAH.


Dari : Lianah Binti Sikana.
(1/09/2009) Saturday.

Daerah Sepulut merupakan sebuah kawasan di pedalaman Sabah yang diduduki oleh suku kaum Murut Tagal. Daerah Sepulut terletak di antara Daerah Pensiangan dan Daerah Nabawan Sabah. Daerah Sepulut terletak kira-kira 250 km dari Bandar Keningau dan 100 km dari Pekan Nabawan. Dalam peta negeri Sabah, daerah Sepulut terletak di bahagian Selatan bersempadan dengan Sarawak dan Kalimantan dan berada di pertengahan jalan antara Keningau dan Tawau. Malah, Daerah Sepulut juga merupakan laluan utama jalan raya separuh bertar yang terdekat dari Kota Kinabalu ke Tawau. Batu Punggul yang terletak di bahagian hulu Sungai Sepulut merupakan destinasi pelancongan yang menjadi tarikan dan tumpuan utama pelancong Asing dari luar negara misalnya dari Australia, Amerika Syarikat, Russia, Kanada dan negara Eropah lain.
Antara penduduk terawal yang menduduki Daerah Sepulut ialah suku kaum Murut Tagal. Pada awal kewujudan daerah Sepulut, penghubung utama ialah sungai yang mengalir dari utara Batu Punggul ke selatan Daerah Pensiangan dan sungai itu dinamakan “Sungai Sepulut”. Masyarakat Murut yang terawal sampai ke daerah Sepulut gemar mendirikan rumah panjang serta hidup dalam keluarga besar yang harmoni iaitu antara lima hingga sepuluh buah keluarga yang menghuni sebuah rumah panjang. Rumah panjang didirikan di pinggir Sungai Sepulut kerana mudah bagi mereka melakukan aktiviti seharian seperti menangkap ikan, mandi, cuci kain dan mendapatkan sumber bekalan air.

Oleh itu, di sepanjang “Sungai Sepulut” dari hulu sungai ke hilir sungai wujud kampung-kampung yang berasingan antara satu sama lain. Antara kampung-kampung tersebut ialah Kampung Tataluan, Kampung Kambubulawan, Kampung Sandukan,Kampung Naipai, Kampung Maatol, Kampung Samuran, Kampung Labang, Kampung Naturan, Kampung Liningkar, Kampung Simatuoh, Kampung Bukokoh, Kampung Tonomon, Kampung Bihor, Kampung Kainggalan dan Kampung Tampak Ri Kailau. Setiap kampung mempunyai ketua kampung yang berperanan sebagai penasihat adat dan tempat rujukan anak buahnya bagi menjaga dan mengawal keharmonian kampung di bawah jagaannya.

Membicarakan maksud perkataan “Murut” menurut Headly (1948) dalam Ismali Yusoff (1997 : 28) perkataan “Murut” di Sabah merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di pedalaman yang mempunyai hubungan rapat dengan suku kaum Dusun. Seperti orang Dusun, nama orang Murut bukan diperoleh sendiri oleh masyarakat tersebut, tetapi diberikan oleh pendatang dari luar. Berbanding dengan orang Dusun, keadaan fizikal orang Murut adalah lebih kecil dan pendek. Barangkali kerana inilah ramai pengkaji beranggapan bahawa mereka ini berasal dari Annam, Ulu Burma atau Formosa (Rutter 1922 dalam Ismail Yussof 1997 : 28).

Menurut Pollard (1935) pula dalam Ismali Yusoff (1997 : 28) istilah “Murut” berasal dari akar kata ‘purut’ iaitu ‘berian’ atau ‘hantaran mas kahwin’. Ada juga pengkaji berpendapat istilah ini diperoleh dari ‘burut’ iaitu sejenis tumbuh-tumbuhan berubi yang digemari oleh orang Murut. Sebelum nama ini menjadi popular kaum Murut dikenali dengan berbagai nama yang dikaitkan dengan alam sekeliling di mana mereka berorentasi. Prentice (1965) dalam Ismali Yusoff (1997 : 28) misalnya menamakan mereka ini ‘hill people’ kerana mereka tinggal di bukit-bukau. Sementara Whelan (1970) dalam Ismali Yusoff (1997 : 28) pula menamakan mereka ‘man of wood’ kerana lokasi perkampungan mereka di hutan rimba.

Asal usul dan sejarah awal masyarakat Murut sukar di kesan. Ini disebabkan oleh kajian tentang orang Murut belum banyak dilakukan. Adapun, hanya catatan-catatan ringkas yang dibuat oleh orang Eropah. Misalnya Rutter (1922) dalam Ismail Yussof ( 1977 : 28) beranggapan bahawa orang Murut ini berasal dari Annam, Ulu Burma atau Formosa disebabkan oleh keadaan fizikal yang kecil dan rendah. Ada yang mengatakan bahawa penghijrahan beramai-ramai dari tanah besar Asia turut diakui oleh Owen Rutter (1922) dalam Abdullah Halim Bandan (2006 : 7) dalam bukunya The Pagan Of North Borneo menjelaskan bahawa penduduk Dusun dan Murut di negeri Sabah adalah daripada kelompok orang pendatang yang berasal dari tanah besar Asia (Funan). Ada juga kajian mengatakan bahawa masyarakat Murut merupakan suku bangsa yang tertua sekali di Sabah, dan dipercayai datang dari Annam, Indo-China dan sampai ke Sabah melalui kepulauan Filipina. Cara hidup mereka hampir sama dengan cara hidup bangsa Mois iaitu Orang Asli negeri tersebut. Mereka juga mempunyai banyak persamaan dengan orang Dayak di Sarawak. Kawasan penempatan mereka ialah di daerah Tenom, Sapulut, Rundum, dan Sipitang. (http://malaysiana.pnm.my/01/010503sbhmurut_pengenalan.htm). Selain itu, Menurut Abdul Halim Bandan (2006 : 8), penduduk terawal negeri ini (Sabah) dikatakan menghuni kawasan pesisir pantai dan muara sungai. Akan tetapi kedatangan kumpulan yang berikutnya dipercayai lebih gagah serta bertamadun, telah memaksa kaum yang awal itu berpindah ke daerah pedalaman. Mereka berpindah untuk mencari tempat perlindungan yang baharu dan selamat.

Menyebut tentang kegiatan ekonomi utama masyarakat Murut, kebanyakan mereka mengamalkan sistem ekonomi sara diri. Misalnya, menaman padi bukit sekali setahun untuk mendapatkan bekalan beras bagi menampung keperluan seharian keluarga. Beras tidak dijual hanya sekadar cukup makan. Selain menanam padi, masyarakat murut juga menaman ubi kayu sebagai sumber makanan kedua. Ubi kayu yang sudah matang akan dijadikan ‘sagu’ atau ‘inaau’ bagi menggantikan bekalan beras jika sudah habis.. Sayur-sayuran seperti kacang panjang, jagung, bayam, betik, labu, lada, terung, timun, sayur manis dan pucuk ubi turut ditanam oleh masyarakat Murut. Masyarakat Murut juga menamam buah-buahan seperti durian (lampun), tarab (kikian), langsat (lansat), nangka (mangka), mangga, cempedak (pulutan), rambutan, pisang (puntih), mangis dan limau. Masyarakat Murut juga gemar turun ke sungai untuk mengkap ikan misalnya ikan Salarong, ikan Palau, ikan Baung, ikan Lambungau, ikan Valov, ikan Luot, ikan Salab, ikan Sungkuh dan ikan Lihas. Alat yang selalu digunakan untuk menangkap ikan ialah pancing, pukat dan rambat. Selain menangkap ikan, masyarakat Murut khususnya kaum lelaki suka masuk hutan untuk memburu babi, pelanduk, rusa, kicang, beruang, monyet, payau dan ular besar. Pucuk Ubi atau ‘Umbus’ menjadi sayur utama sekiranya tidak mendapat hasil buruan dari hutan.

Jalan pengangkutan masyarakat Murut Tagal yang sangat popular ialah jalan melalui sungai Sepulut dan menggunakan perahu atau “Paraaw”. Perahu besar beserta dengan enjen ‘Boat Mariner atau Boat Suzuki’ sangat sesuai digunakan untuk perjalanan jauh. Untuk pergi ke kampung-kampung lain menyelusuri Sungai Sepulut, perahu ‘boat’ lebih mudah digunakan berbanding kereta kerana pada masa dahulu jalan raya belum sempurna. Pada masa sekarang, kereta Land Rover dan Land Cruiser menjadi alat pengangkutan utama kerana jalan raya sudah diperbaiki, malah lebih menjimatkan masa dan tenaga berbanding dengan perahu ‘boat’.

Dalam bahasa pertuturan utama, masyarakat Murut bertutur dalam bahasa Murut, yang menjadikan bahasa ibunda dan bahasa harian dalam kalangan mereka. Namun demikian, mereka juga menggunakan bahasa Malaysia sebagai lingua franca untuk berhubung dengan suku-suku kaum lain, semasa berurusan dengan hospital dan pejabat-pejabat kerajaan apatah lagi bahasa itu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Negara.

Dari segi pekerjaan, masyarakat Murut Tagal di Daerah Sepulut bekerja sebagai petani dan bercucuk tanam sendiri bagi menyara kehidupan keluarga. Sebahagian besar kaum lelaki bekerja sebagai buruh kasar kayu balak dan pembawa kenderaan berat untuk membuat jalan raya. Selain menjadi petani, masyarakat Murut juga suka bekerja sendiri misalnya mejual lumut dan kulat kepada tauke Cina untuk diproses menjadi ubat. Selain menjual ubat, masyarakat Murut juga suka menjual daging babi atau rusa untuk mendapatkan sumber pendapatan sampingan. Bagi sektor kerajaan, hanya sedikit sahaja masyarakat Murut yang makan gaji dengan kerajaan misalnya menjadi guru dan pembantu hospital di Daerah Sepulut. Masyarakat Murut juga memungut hasil hutan seperti rotan, buah-buahan yang tumbuh dalam hutan, damar, tali ‘lumapak’, madu lebah dan damar.

Suku Kaum Murut di Sabah terdiri daripada pelbagai jenis iaitu Baukan, Timugon, Paluan, Tagal atau Tahol, Kolod, Naabai, Sembakung, Serudung dan Kalabakan. Kepelbagaian jenis Murut ini adalah disebabkan oleh bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan terletak di kawasan penempatan yang berbeza. Suku kaum Murut di Sabah terpisah-pisah antara satu sama lain sehingga membawa kepada perbezaan dari segi dialek dan sedikit perbezaan adat resam. Salah satu budaya yang dikongsi bersama ialah “Pesta Keamatan” (Bahasa Dusun) atau “Pesta Napangaan Nangotom” (Bahasa Murut) . Dalam bahasa Melayu bermaksud “Pesta Selasai Menuai Padi”. Dari segi agama, ramai suku kaum Murut di Sabah yang beragama Kristian dan sebilangannya adalah beragama Islam dan Pagan. Di daerah Sepulut, kebanyakannya beragama Kristian Basel.

Umumnya, masyarakat Murut Tagal di Daerah Sepulut boleh dianggap sebagai masyarakat luar bandar yang agak homogeneous (seragam). Anggota masyarakatnya yang sebangsa dan seagama memperlihatkan keseragaman dari segi adat, cara, gaya dan taraf hidup. Keseragaman ini selaras dengan hakikat bahawa kebanyakan anggota masyarakat mempunyai ikatan kekerabatan antara satu sama lain mewujudkan perpaduan dan perasaan kekitaan di kalangan mereka. Hubungan yang rapat antara kaum keluarga dan perpaduan yang wujud penting bagi menimbal kesukaran hidup dan kelemahan ekonomi.

Salah satu jenis Murut yang unik dan berbeza daripada Murut lain ialah Murut Tagal atau Tahol. Murut Tagol kebanyakannya tinggal menetap di daerah Nabawan, daerah Pensiangan dan daerah Sepulut. Namun, dalam kajian ini lebih berfokus kepada masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut. Salah satu keunikan Murut Tagol daripada Murut lain ialah adat. Adat yang menjadi kebanggaan dan amalan suku kaum Murut Tagal ialah adat “Barian Sampai Mati”. Adat ini diperturunkan sejak zaman nenek moyang lagi sehingga pada masa ini.

Masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut sejak dahulu lagi mengamalkan adat ‘barian sampai mati’. Adat ini kemudiaannya semakin berkembang ke seluruh masyarakat Murut Tagal dan anak gadis yang dikahwini dikenakan bayaran yang sangat mahal. Di Malaysia, hanya masyarakat Murut Tagal sahaja yang mengamalkan adat ‘barian sampai mati’ dalam adat perkahwinan. Namun, pada masa sekarang, masyarakat murut Tagal yang sudah mencapai tahap pendidikan yang tinggi tidak meneruskan adat ini kerana menganggap adat ini amat membebankan terutama pihak lelaki.

11 comments:

  1. hello.. im Vun... from tataluan sepulut... u have a nice story there... why not u translate all this story to english... so that the world may know about sepulut... i love sepulut! thats my home. im also creating a blog for tataluan. hope to hear from u soon...

    ReplyDelete
  2. bah palan-palan urus itu kayu balak...jangan pula jadi zero-zero kayu balak...

    ReplyDelete
  3. bah kalau dapat babi besar hutan tu jangan lupa bagi kita orang ya...di sepulut banyak tu kan...

    ReplyDelete
  4. itu jalan tar sampai mana sudah sekarang ya...

    ReplyDelete
  5. thank u liana for posting this info..priceless!

    ReplyDelete
  6. Pembetulan.. Murut BOOKAN.. bukan murut BAUKAN... Dlami ckit ilmu sejarah kmu... Br nmpak professional.. I LOVE MURUT... ok... Gud job..

    ReplyDelete
    Replies
    1. BOOKAN ialah sebutan oleh suku kaum BOOKAN itu sendiri, sementara BAUKAN ialah sebutan am oleh suku kaum murut yang lain dan juga secara am dalam bahasa melayu.

      Delete
  7. This is a very good reading for those who want to know about Murut. U did a great job. Continue posting information about this ethnic. Im waiting! Oh btw im a murut too!! Proud to be one!

    ReplyDelete
  8. I'm also ...murut.but little bit knowing about this murut etiquette...thankz ...for your article.... So next time,try translate in English.....

    ReplyDelete
  9. nice review for this ethnicity helped a lot in my assigment, hope this also helps others to learn about this ethnicity

    ReplyDelete